Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ketika hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 daripadanya mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 daripada kes itu melibatkan rakyat Malaysia manakala lima lagi bukan warganegara.

Beliau berkata, 16 kes import itu ialah dari Thailand (1), Hong Kong (1), Indonesia (2), India (2), Arab Saudi (3), Pakistan (2), Yaman (1), Lubnan (1) , United Kingdom (1) dan Jepun (1).

Katanya, kesemua kes itu dikesan di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Terdapat sembilan kes penularan di dalam negara yang melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Terdapat dua kes jangkitan dalam negara yang dikesan di kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kedua-dua kes ini adalah merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah di mana ianya telah melibatkan pekerja kedai makan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, telah tular di media sosial notis penutupan kedai makan tersebut dan menimbulkan sedikit keresahan di kalangan pelanggan. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif di mana siasatan lanjut dan persampelan akan diambil.

Katanya, kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman.

Tambah beliau, sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes
memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam itu Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 28 kes Covid-19 pulih hari ini dan dibenar keluar wad.

Katanya, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan adalah sebanyak 8,859 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ujarnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian wabal itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette