Pulau Langkawi hari ini secara rasminya diisytiharkan sebagai Hab Coklat Malaysia.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 pekebun kecil koko di seluruh negara.

Menerusi kenyataan, Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak RM276,500 diperuntukkan kepada 768 pekebun kecil koko di Semenanjung.

“KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seterusnya mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan seterusnya pembangunan akan terus diberi keutamaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, sektor koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun lepas dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) sejumlah RM1.6 bilion.

Sektor pembuatan coklat dan produk koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion iaitu 17.3 peratus pada tahun yang sama dengan peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Tambah kenyataan itu, nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi lima bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion, meningkat sebanyak 0.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bagi memperkasa industri pembuatan coklat, kementerian telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Bimbingan Lembaga Koko Malaysia pada tahun 2013.

“Sehingga 16 Ogos 2020, seramai 224 orang usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut dengan hasil jualan produk usahawan coklat bagi tempoh lima bulan pertama 2020 (Januari hingga April) adalah sebanyak RM2.06 juta,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan KPPK berkata, Pulau Langkawi hari ini secara rasminya diisytiharkan sebagai Hab Coklat Malaysia.

Pengisytiharan itu disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Cadangan mewujudkan hab coklat berkenaan sejajar dengan perkembangan Langkawi sebagai pusat peranginan tersohor negara dengan jumlah kemasukan pelancong melebihi 3.6 juta orang sejak tahun 2014 dan yang terkini hampir 4 juta orang sepanjang tahun lepas seperti yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).- MalaysiaGazette