KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara Pas dan UMNO hampir setahun lalu merupakan formula baharu untuk kedua parti itu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi kembali berkuasa.
Hal ini dinyatakan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, yang menyifatkan kebersamaan Pas dan UMNO sebagai inisiatif terbaik pimpinan parti Melayu masa kini yang akan memperbetulkan semula landskap politik tanah air.
Kebersamaan Pas dan UMNO merupakan inisiatif terbaik pimpinan kedua parti untuk memperbetulkan kembali landskap politik Malaysia yang diasak pelbagai masalah apabila diperintah Pakatan Harapan (PH).
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang ini juga menasihati agar memperkuat Muafakat Nasional (MN) kerana ia adalah formula baharu untuk memerintah Malaysia dan memastikan DAP berserta rakan-rakannya tidak berkuasa kembali.
Beliau menjelaskan, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara, kedua parti boleh duduk bersatu dan muafakat untuk membincangkan mengenai keamanan negara, bangsa dan agama.
“Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu kita berpecah dan berlawan sehingga kesan yang kita lihat politik negara tidak menentu dan DAP menguasai, tetapi kini kita bersama.
“Hasil keterbukaan ini mewujudkan keinsafan kedua parti terbesar berkenaan. Lalu, kita ambil inisiatif perbetulkan semula keadaan supaya politik berada pada pihak yang betul,” katanya semalam.
Pas dan UMNO akan menyambut ulang tahun genap satu tahun gabungan kedua parti itu pada 14 September ini, di samping menerima penyertaan kehadiran rakan baharu, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Roslan Shahir, sepanjang 22 tahun PH memerintah dari Mei 2018 hingga Februari 2020, jelas kelihatan keresahan dan impak yang dihadapi oleh rakyat, akibat dari ketidakcekapan pemerintahannya.
“Selama 22 bulan kita tertekan, hak kepentingan orang Melayu dipertikai, amalan songsang LGBT diasak diperkenalkan dalam Malaysia.
“Sedangkan, perkara sensitif tidak disentuh, sebaliknya dipertikaikan. Kehidupan kita waktu itu bagaikan burung, hendak terbang tidak bersayap, hendak berjalan tidak berkaki,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, antara parti yang paling takut dengan kewujudan MN ialah DAP, kerana perjuangannya tidak ada pun agenda untuk orang Melayu.
Tegas Roslan Shahir, perjuangan parti itu ialah mewujudkan Malaysian Malaysia, tiada keistimewaan pada Melayu kerana didiskriminasikan. – MalaysiaGazette
















