KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengutuk dan mengecam keras perjanjian damai dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan rejim Israel yang baru sahaja dimeterai minggu ini.
DPPM menyifatkan tindakan UAE itu sebagai pengkhianatan kepada umat Islam terutama rakyat Palestin serta dunia Islam.
Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, adalah satu penghinaan besar bagi UAE apabila sanggup bersama musuh Islam yang giat menyembelih saudara seagama mereka.
“Tidak terjangkau oleh akal fikiran bagaimana UAE yang dipimpin seorang beragama Islam dan majoriti penduduknya Islam sanggup berjabat tangan dengan pemimpin rejim Israel dan Zionis yang dikotori darah dan air mata rakyat Palestin.
“Apakah UAE tidak sensitif dengan nasib saudara seagama yang sejak sekian lama dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka oleh musuh Islam ini?
“Pengkhianatan UAE ini harus ditentang oleh semua negara dunia Islam, termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Ir. Khairil Nizam berkata, Pemuda Pas menuntut kerajaan Malaysia mengecam tindakan UAE dan memanggil pulang Duta Malaysia di UAE sebagai bantahan kepada pengkhianatan itu.
DPPM juga, tegasnya akan terus bersolidariti bersama saudara seagama di Palestin dan dunia Arab yang ditindas dan dizalimi oleh rejim zionis Israel.
Ujarnya, segala bentuk hubungan dan perjanjian damai bersama Israel adalah suatu pengkhianatan dan harus ditolak oleh umat Islam. – MalaysiaGazette
















