KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa, geran yang kononnya mahu diserahkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri itu sebenarnya ‘geran komunal’ atau berkelompok, iaitu beberapa nama diletakkan dalam satu geran.

Beliau berkata, melalui geran itu, setiap penama tidak mempunyai hak terhadap tanah serta tidak tahu di mana lokasinya menyebabkan berlaku pertindihan tuntutan.

Malah ujarnya, kebanyakan tanah pula diuruskan oleh agensi atau syarikat yang dilantik.

“Geran komunal senarai nama sampai 20 orang, tiada individu mempunyai hak ke atasnya, manakala kumpulan itu tidak boleh pinjam duit untuk bagi hutang, tapi yang kita lakukan milik hak rakyat Sabah dari kerajaan negeri Sabah kita lakukan.

“Pengeluaran geran komunal atau pemilikan tanah secara berkelompok diperkenalkan pada tahun 2010 ketika pemerintahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Pendekatan itu bagaimanapun, mendapat tentangan kerana didakwa dilaksanakan hanya bertujuan memastikan syarikat kroni BN sahaja dapat menerokai tanah dan melakukan pembalakan,” katanya menerusi hantaran akaun Facebooknya, semalam.

Menurut Ketua Menteri Sabah itu, geran komunal juga biasanya dikeluarkan di kawasan hutan dara atau belum diterokai, manakala syarikat dilantik atas alasan untuk melakukan kerja pengukuran serta pembersihan, tetapi hakikatnya untuk membalak.

Atas sebab itu, tegasnya, sejak kerajaan Warisan memimpin Sabah, beliau telah memansuhkan geran komunal kerana tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Pemansuhan itu adalah sebahagian daripada reformasi pentadbiran kerajaan Sabah yang dilaksanakan oleh saya untuk memastikan dasar kerajaan selari dengan kehendak rakyat.

“Kita tukar, mana yang geran komunal kita hapuskan, mana kampung yang diwartakan sebagai rizab kita keluarkan daripada rizab perkampungan.

“Ada kampung di Tongod yang jadi rizab oleh kerajaan dahulu, selama 40 tahun lebih jadi rizab, tetapi kita keluarkan rizab, orang kampung itu sudah pun memilikinya. Itulah perkampungan mereka bukan lagi rizab kerajaan negeri yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast