Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Redzuan Md Yusof melahirkan keyakinan bahawa kumpulan yang menubuhkan parti Pejuang akan kembali menyertai parti itu dalam satu gabungan agung.

Katanya, perjuangan antara Bersatu dan parti yang ingin ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad itu mempunyai matlamat yang sama cuma jalannya yang berbeza.

“Saya nampak (parti) Pejuang mempunyai matlamat yang sama. Saya tidak hairan satu ketika (nanti) mereka boleh bersama dalam grand coalition (gabungan agung), you never know, ini pendapat saya,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ditanya pendapat beliau samada Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir akan menggugat Bersatu, Redzuan tidak menolak kemungkinan itu.

“Saya rasa tidak boleh dinafikan tapi terpulang kepada kita sebagai orang yang mengasas dan memperkasakan Bersatu untuk memberi jalan untuk mereka bersama mereka matlamat yang sama.

“Tapi jalan yang berbeza antara Pejuang dan kumpulan lain dan juga Bersatu, contoh kita membawa pendekatan kita perlu mencapai reformasi dan tidak berkompromi dengan ‘rule of law’,” katanya.

Pada minggu lalu, Dr. Mahathir yang juga merupakan bekas Pengerusi Bersatu mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya akan dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air.

“Parti ini mesti bersih, bukan parti kudapan, sebab itu saya harap mereka yang sudah tinggal Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sudah jadi blackout boleh cerah balik, masuk Parti Pejuang Tanah Air.

“Inilah parti kita,” katanya ketika majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim. – MalaysiaGazette