Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap di sidang media mengenai perasmian Hari Sungai Sedunia Peringkat Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak akan mengambil tindakan melulu hanya berdasarkan gambar di media sosial yang memaparkan wujudkan salah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, beliau perlu berlaku adil kepada penjawat awam walaupun telah dikenakan tahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tak nak letakkan hukuman itu awal atau jatuhkan hukuman berdasarkan gambar di media (sosial).

“Mungkin kita harus adil kepada mereka, mereka tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Pembuktian bersalah itu adalah di dalam mahkamah dan proses undang-undang yang telah dibenarkan.

“Saya kena berlaku adil kepada pegawai kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam sindiket melindungi premis perniagaan haram.

Penahanan itu menjadikan seramai sembilan penguatkuasa MBSA ditahan SPRM sejak operasi khas dijalankan susulan pembongkaran premis perniagaan haram di Sungai Buloh menjadi tular di media sosial.

Penahanan ke atas Pengarah MBSA berusia 59 tahun ini dilakukan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi, 14 Ogos lalu.

Amirudin juga mengulangi ketegasannya bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah yang melibatkan pentadbiran dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

“Sebagaimana sedia maklum bahawa kita tidak kompromi dari A to Z terhadap tindakan yang melanggar batas undang-undang, apatah lagi ia melibatkan pemerasan dan sebagainya.

“Ini adalah amaran baik kepada pegawai kerajaan Selangor dan semua struktur pentadbiran Selangor dan majlis di mana kita sudah dipantau dan kena berhati-hati.

“Kena pastikan setiap tindakan itu di dalam aras dan juga paras undang-undang yang telah ditetapkan.

“Apatah lagi rasuah merupakan satu yang kita tentang dan perjuangan dilawan habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette