Calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz menggunakan motosikal bersama jentera BN yang lain sewaktu berkempen sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Kampung Klah Baru , Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2020

SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz berjanji akan membantu 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim di sini yang berdepan masalah banjir kilat sejak sekian lama.

Janji itu mengambil kira komitmen penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang sebelum ini berusaha menyelesaikan isu tersebut.

Malah, katanya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu sudah membawa isu berkaitan masalah dihadapi penduduk itu kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah dan turut dibahaskan di sidang DUN.

“Banjir kilat berlaku disebabkan limpahan air Sungai Slim susulan hujan lebat yang menjadi masalah utama penduduk di kawasan berkenaan.

“Masalah ini berlaku sejak lama dahulu dan sudah dibawa kepada pihak berkaitan oleh arwah (Mohd Khusairi).

“Jadi, saya mahu teruskan perjuangan itu termasuk penempatan untuk generasi kedua bagi kampung tradisional dan Felda,” katanya ketika melawat Kampung Klah Baru, di sini,semalam.

PRK DUN Slim menyaksikan Mohd Zaidi berdepan saingan tiga penjuru dengan dua calon bebas iaitu S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette