Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir untuk merasmikan Perlancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional Negeri Perak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Rajawali Felda Residence Trolak, Perak. foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan 12 bahagian parti yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan Datuk Bung Moktar Radin untuk mengetuai parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seperti memberi satu kekuatan kepada musuh politik parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, parti lawan sudah tentu mahu melihat perpecahan dalam kalangan parti itu menjelang PRN Sabah bulan depan.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Sabah sebenarnya masih boleh dimurnikan kemelutnya.

“Cara terbaik untuk hadapi PRN di Sabah adalah dengan mencari jalan terbaik agar semua pihak dalam satu wadah sama.

“Benar perbezaan pendapat harus diraikan tetapi kita harus hormati penubuhan yang telah ditentukan.

“Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi UMNO Sabah adalah lantikan yang dibuat oleh saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN (Barisan Nasional).

“Maka tentulah munasabah mana-mana pengerusi hubungan negeri dan juga pengerusi BN negeri mengetuai jentera yang ada di dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) atau PRN di sesebuah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan di Besout 3, Slim di sini hari ini.

Ahmad Zahid menambah, apa juga pendapat pemimpin UMNO di Sabah, beliau telah berunding dengan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden untuk membahagikan tugas di kawasan yang dipertanggungjawabkan

Jelas beliau, begitu juga apabila meminta semua Pengerusi Perhubungan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi untuk diberikan tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri di Sabah oleh menteri dan timbalan menteri daripada UMNO dan BN.

“Dan saya harap semua pihak yang ada di Sabah biarpun ada pendapat yang berlainan untuk bersama-sama merealisasikan tujuan dan matlamat pada kali ini, kerana rakyat Sabah amat rindukan UMNO dan BN dan inilah harus diberikan keutamaan

“Dan saya yakin perbezaan pendapat akan dapat diselesaikan jika kita terus istiqomah dan bersatu hati untuk menentukan matlamat parti bagi memenangi PRN ini yang menjadi keutamaan di peringkat akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette