Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah perlu mempunyai kebebasan dalam menentukan halatuju negeri itu tanpa perlu campur tangan seperti selama ini.

Malah terang-terangan autonomi itulah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan ahli UMNO sejak parti itu bertapak di Sabah 29 tahun yang lalu.

Itulah luahan Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpandangan semangat autonomi UMNO Sabah yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas telah dilanggar.

Ini berikutan bantahan mereka terhadap pelantikan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

“Saya percaya rakyat Sabah mahukan UMNO Sabah supaya mempunyai kebebasan menentukan halatuju kami tanpa campur tangan pusat di Kuala Lumpur.

“Sudah tiba masanya UMNO mendengar jeritan suara rakyat Sabah sejak 1963 yang mahukan Sabah mendapat hak menentukan halatuju politik mereka.

“Kami berpandangan bahawa seseorang yang menjadi ketua jentera pilihan raya negeri UMNO Sabah mestilah bebas dari persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan oleh pihak lawan.

“Juga mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat, dan yang tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan-rakannya dalam pilihanraya negeri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ketika ini, Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette berhadapan perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

Malah kata Rahman, pengumuman yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap pelantikan Bung sebenarnya tidak dirundingi, dibawa berbincang untuk mendapatkan keputusan bersama antara Ketua-Ketua Bahagian.

“Malah kami telah berkali-kali memaklumkan kepada Presiden UMNO sebelum ini tentang pandangan dan kebimbangan kami berkenaan dengan kedudukan Ketua UMNO Sabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan, hakikatnya sentimen rakyat Sabah secara keseluruhan mahu parti-parti politik di Sabah ditentukan hala tujunya oleh orang Sabah sendiri.

“Kami percaya pemimpin UMNO Sabah mampu menentukan hala tuju parti itu sesuai dengan kehendak rakyat Sabah dan situasi politik masa kini. Autonomi inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan ahli UMNO sejak parti ini bertapak di Sabah 29 tahun yang lalu,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Asalnya pun UMNO parti Malaya Tanah Melayu yg merdeka 31 ogos 1957..maka puak umno sabah kena ikut ckp big boss di Malaya..awak senang2 ke malaya nak bagi sabh sarawk autonomi,? ma63 saja dibakul sampahkn oleh ‘ketuanan melayu’ ini..menjadi pecacai malayalah awak seumur hidup.

Comments are closed.