Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya (tengah) diiringi Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual (dua kanan) menunjukkan kertas cadangan penukaran nama tempat pada sidang media Kempen Kemerdekaan Mununtut Kerajaan Martabatkan Penggunaan Bahasa Melayu Pada Peringkat Nasional di Ibu Pejabat Ikatan Muslimin Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali tidak lama lagi bagi membincangkan isu pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Menurut Ahli Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda Isma, Mohd. Soufi Anual, ia merupakan kesinambungan usaha badan tersebut terhadap cadangan yang dilontarkan oleh Perbadanan Muzim Melaka (Perzim) baru-baru ini.

“Kami memberi sokongan penuh kepada cadangan Perzim ini dan selepas mengadakan pertemuan dengan mereka serta diberi penjelasan dan bukti mengenai nama asal St. Paul, langkah seterusnya adalah untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka tidak lama lagi.

“Sebelum ini, kami mendapat maklumat daripada siaran berita yang Ketua Menteri memaklumkan beliau masih belum menerima apa-apa kertas cadangan berhubung penukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka daripada Perzim jadi selepas ini kami semua akan mengadakan pertemuan dengannya untuk membuat perbincangan lanjut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tegas Soufi, kajian Perzim berdasarkan kitab-kitab sejarah Melayu menunjukkan sebelum penjajahan British, kawasan tersebut telah dinamakan Bukit Melaka yang mana ia merupakan pusat Kesultanan Melayu Melaka.

Bagaimanapun, kesemua tinggalan pusat tersebut termasuk istana dan Masjid Agung telah dimusnahkan seterusnya nama Bukit Melaka ditukar kepada Bukit St. Paul.

“Kami bukan mahu menidakkan sejarah Bukit St. Paul tetapi kita mahu mengembalikan sejarah asal Bukit Melaka,” katanya lagi.

Menurut Presiden Isma, Aminuddin Yahaya, pertukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka bukanlah satu isu yang sensitif.

Ianya adalah sesuatu yang munasabah dan boleh dilakukan oleh kerajaan.

Tambah beliau lagi, pertukaran nama berkenaan tidak akan mengubah sejarah Bukit St. Paul tetapi adalah untuk mengembalikan identiti asal kawasan berkenaan.

“Selepas 63 tahun merdeka, kita seharusnya mempunyai identiti sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Isma turut melancarkan petisyen atas talian supaya nama Bukit St. Paul ditukar kepada Bukit Melaka.

Orang ramai digalakkan untuk menandatangani petisyen tersebut di charge.org atau layari laman Facebook Pemuda ISMA.- MalaysiaGazette