Salah seorang warga Myanmar yang ditahan atas dakwaan menyimpan gas petroleum cecair di Klang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Myanmar dipenjara 16 bulan selepas didapati bersalah kerana menyimpan barang kawalan iaitu gas petroleum cecair.

Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman ke atas Mg Sein Kyaw, 34, dan Saw Wah, 29, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Jenayah Sesyen Klang hari ini.

Mereka terdahulu didakwa telah menyimpan barang kawalan berjadual iaitu Gas Petroleum Cecair sebanyak 2,978.75 kg di sebuah premis beralamat Lot 6788, Kampung Baru 1, Batu 7, Jalan Kebun.

Kedua-duanya didakwa bagi kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi satu juta ringgit (RM1,000,000.00) setiap seorang, atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi tiga juta ringgit (RM 3,000,000.00) atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Khatijah Abdul Rajah memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam bagi memastikan ketirisan barang kawalan bersubsidi tidak berlaku dan memberi pengajaran kepada peniaga-peniaga lain agar mematuhi peraturan dan peruntukkan undang-undang yang dikuatkuasakan dibawah KPDNHEP.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam telah ditahan dari tarikh ditangkap pada 16 Januari lepas.

KPDNHEP menahan tertuduh dalam satu serbuan pada 16 Januari 2020 kira-kira jam 11.40 pagi di Jalan Kebun, Klang yang mengaku merupakan pekerja.- MalaysiaGazette