Calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz berucap pada Program Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Bilik Gerakan Makkal Sakti, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Azizi mengakui hanya tidur kira-kira tiga jam sehari sejak mula berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Mohd. Zaidi, 43, berkata, perkara itu bukan satu yang luar biasa dan menganggapnya berbaloi dalam kesibukan bertemu pengundi.

Malah jelas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim itu, beliau sudah biasa tidur lewat dan bangun awal kerana aktif dengan pelbagai aktiviti dan program membabitkan belia sebelum ini.

“Memang penat penat berkempen sehingga malam tetapi itu biasa. Saya juga perlu sentiasa menyemak kandungan mesej dan emel daripada jentera pilihan raya serta rakan, selain melihat jadual kempen keesokan harinya.

“Selepas selesai, barulah saya tidur dan bangun pada jam 5 pagi,” katanya ketika ditemui media dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai di sini semalam.

Mohd Zaidi menambah, rutin harinya bermula selepas keluar berkempen selepas solat Subuh dan bergerak bersama jentera BN mengikut jadual yang disusun.

Tambahnya, bangun awal pagi sudah menjadi amalannya sejak dahulu bersandarkan pesanan bapanya di bangku sekolah.

“Saya akan kekal bersama membantu penduduk Slim, sebelum dan selepas pilihan raya ini. Banyak masalah yang boleh kita cuba selesaikan jika BN kekal menjadi pilihan pengundi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi rahsia kekal cergas apabila mengamalkan minum air suam dalam kuantiti yang banyak dan mengambil suplemen untuk berkempen dari pagi hingga ke malam.

Pada PRK DUN Slim, BN pertaruhkan Mohd Zaidi yang juga anak tempatan bagi mempertahankan kerusi berkenaan manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala seorang lagi calon Bebas ialah S Santharasekaran, 44. – MalaysiaGazette