Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kes jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif wabak berkenaan direkodkan sebanyak 9,249 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada sembilan kes baharu itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan warga asingdari Filipina, Austria, Indonesia dan India.

Manakala lima lagi merupakan kes penularan tempatan membabitkan empat warganegara, seorang lagi warga asing yang menjalani saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Beliau tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Kes penularan warga negara pula adalah tiga di Kedah daripada Kluster Tawar dan satu di Kuala Lumpur membabitkan kluster baharu iaitu Kluster Maju,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 179 dan kesemuanya telah diasingkan dan diberikan rawatan.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 13 kes pulih turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,945 bersamaan  96.7 peratus.

“Sebanyak tujuh kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan kekal 125 kes,” tambah beliau.-MalaysiaGazette