Dr Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Langkah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan parti untuk bergabung dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Perikatan Nasional (PN) adalah untuk menyelamatkan negara.

Ketua Pemuda Negara, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah tersebut juga adalah sebagai satu pengorbanan untuk maju ke depan meskipun berdepan dengan rintangan.

“Pengorbanan untuk bergabung dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah keputusuan yang senang. Keputusan untuk bergabung dengan PN bukan keputusan yang mudah.

“Kita harus ambil kira pengorbanan banyak orang tetapi juga kita harus memutuskan tentang masa depan dan survival negara bangsa ini. Ada banyak benda kita kena fikir, renung dan bahaskan tapi akhirnya kita harus ambil keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Negara 2020, “Bersatu Untuk Malaysia” yang berlangsung di Mitec hari ini.

Menurut Afif Bahardin, Pemuda Negara harus mengambil iktibar dengan menjiwai semangat idealisme, perjuangan dan intipati kisah Rasulullah.

Ujarnya, terdapat dua sisi Pemuda yang wujud dalam sejarah iaitu satu sisi pemuda yang berani berjuang untuk kebenaran dan sanggup berhadapan dengan ancaman dan mempertaruhkan nyawa sendiri demi mempertahankan keyakinan dan perjuangan untuk kebebasan dan keadilan.

Satu sisi lagi kata beliau, adalah Pemuda yang bermegah dengan kedudukan dan kemuliaaan yang mereka ada tetapi buta dan tuli dengan nafsu serakah dan sanggup untuk membuat onar asal mencapai cita-cita mereka. – MalaysiaGazette