KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang pemandu Grab, Jeetendraj a/l Balu, 26, bagi menyiasat kematian seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan tentang seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki didera di Pangsapuri Vista Damansara pada 21 Ogos lalu.

Polis yang tiba di perkarangan flat berkenaan menemui seorang wanita tempatan, dipercayai ibu mangsa sedang mendukung kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sedang menunggu bantuan ambulans.

Wanita itu dan mangsa telah dibawa oleh polis ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Hasil siasatan awal mendapati terdapat kecederaan pada kepala mangsa.

Ibu kanak-kanak berkenaan dikatakan telah meninggalkan mangsa bersama suspek di rumah untuk membeli makanan.

Setelah pulang, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan dipercayai telah didera.

Suspek yang dikenal pasti sebagai teman lelaki ibu mangsa telah melarikan diri.

Alamat terakhir Jeetendraj adalah di Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta menghubungi ASP Noridah Md Ayub ditalian 019-6979891 atau IPD Petaling Jaya 03-7966222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast