Beberapa pemuda DAP meletakkan tulisan Cina pada papan tanda jalan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak mengambil serius tindakan sebuah sayap parti politik di negeri itu yang meletakkan pelekat bertulisan Cina pada papan tanda di beberapa buah jalan sekitar Kuching.

Ini kerana tindakan seumpama itu boleh dilihat sebagai satu tindakan vandalisme ke atas harta benda awam.

Sedangkan, tindakan sedemikian sepatutnya dibuat melalui cara yang betul dan mengikuti lunas undang-undang.

”Bagi kami, ia adalah tindakan yang kurang bijak dan boleh mengakibatkan ketegangan yang hanya akan merugikan rakyat.

”ABIM Sarawak menegaskan agar mana-mana entiti di Sarawak sewajarnya hanya melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan kesan positif kepada kepentingan negara terutamanya dalam soal perpaduan antara rakyat yang berbilang budaya, bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ia mengulas mengenai tindakan DAPSY Sarawak yang menambah  tulisan Cina di beberapa jalan di negeri tersebut baru-baru ini.

Artikel berkaitan:Tambah tulisan Cina pada papan tanda jalan, Pemuda DAP biadab

Isu tulisan Cina: Armada kecam tindakan Dapsy Sarawak

Tambahnya, Sarawak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya yang sangat diraikan oleh penduduk negeri ini dan seharusnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia yang dikhuatiri masih dilanda kemelut perkauman yang sempit.

Oleh itu, adalah tanggungjawab semua pihak di Sarawak untuk menjaga keharmonian yang sedia ada di negeri yang dicintai ini dengan mengelakkan sebarang tindakan yang hanya akan merugikan rakyat. – MalaysiaGazette