Ikmal Hazlan Ikmal Hisham

KUALA LUMPUR – Ibu bapa hanya lakukan apa yang difikirkan terbaik untuk anak-anak mereka, demikian luahan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berhubung isu surat sokongan yang tular baru-baru ini.

Mengepil bersama pautan laporan media mengenai sesalan bapanya, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai surat sokongan tersebut, Exco Pemuda UMNO itu memberi gambaran beliau sendiri tidak begitu bersetuju dengan tindakan bapanya.

“Kadangkala ibu bapa hanya melakukan apa yang dirasakan mereka adalah terbaik untuk anak-anak.

“Sebagai anak, kita tahu niat mereka baik walaupun berbeza pandangan, kita hanya mampu berterima kasih di atas niat mereka itu,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Isu “kabel” itu menjadi hangat apabila sepucuk surat sokongan daripada Ikmal Hisham kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta supaya Ikmal Hazlan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Bhd. tular di media-media sosial baru-baru ini.

Ketika ditanya, Ismail Sabri berkata, keputusan untuk melantik ahli lembaga pengarah berada di bawah bidang kuasa syarikat terbabit dan Ikmal Hazlan tidak terpilih oleh Pharmaniaga.

Ikmal Hisham dituduh telah menyalahgunakan kuasa sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan ahli politik.

Beliau bagaimanapun menyatakan kekesalannya di atas perkara tersebut dan memberitahu surat sokongan tersebut adalah surat lama bertarikh 5 Jun 2020 dan beliau telah menarik balik surat berkenaan selepas itu.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.