Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berucap pada Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Pekan Slim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan ditubuhkan oleh kerajaan memerintah hari ini tidak mempunyai hala tuju.

Ujarnya, kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai krisis identiti kerana masih berdolak-dalik samada bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi membentuk Muafakat Nasional ataupun Perikatan Nasional.

“Kerajaan ini memang huru hara dan kelam-kabut. Semalam Pas cakap mereka sudah bersetuju untuk jadi penaja untuk tubuhkan Perikatan Nasional bersama Bersatu.

“UMNO kata dia tak mahu masuk Perikatan lepas itu Bersatu kata mereka nak masuk Muafakat Nasional,” katanya dalam dalam siri ceramah perdana PRK Slim Perak, sebentar tadi.

Kor Ming hilang jawatan Timbalan Dipertua Dewan Rakyat apabila beliau meletakan jawatan selepas Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof digugurkan dari jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bulan lalu.

Jelas Ahli Parlimen Teluk Intan itu lagi, kerjasama yang ingin dijalinkan Muhyiddin masih lagi kucar-kacir dan tidak jelas pada mata rakyat.

“Oleh itu bila kita pergi Parlimen tanya kamu ini kerajaan apa? Dulu kerajaan BN sekarang kerajaan apa? Kerajaan Perikatan ke? kerajaan Muafakat ke? kerajaan UMNO ke? Kerajaan rojak ke? Kerajaan tebuk atap ke? Mereka tak tahu.

“Dia ada krisis identiti diri, mereka kucar-kacir. Hari ini masuk, esok keluar. Macam ini negara kita tidak ada hala tuju,” ujar beliau lagi.

Hari ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lima parti sudah bersetuju untuk bersama-sama gabungan itu.

Antara lima parti itu, sebilangan adalah daripada komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Muafakat Nasional kini berdepan isu pendaftaran dalam Perikatan Nasional apabila Pas bersetuju menyertai Bersatu bersama empat parti lain.

UMNO pula kekal dengan pendirian untuk mendaftar dalam Muafakat Nasional dan kekal dalam BN untuk menggunakan lambang dacing. – MalaysiaGazette