Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020

KUALA LUMPUR РSebanyak tujuh kes baharu positif Covid-19 manakala enam kes telah pulih sepenuhnya dilaporkan hari ini dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 184 kes.

Jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,274 kes manakala jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya berjumlah  8,965 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada tujuh jangkitan virus itu merupakan kes import manakala lima lagi adalah penularan dalam negara.

“Dua kes import terbabit adalah warganegara yang pulang daripada Filipina dan pulang Amerika Syarikat.

“Manakala penularan tempatan di Sarawak diketahui tiga orang disaring di tempat kerja (seorang warganegara dan dua bukan warganegara), seorang disaring sebelum bersalin dan seorang bukan warganegara disaring sebelum ke negara asal,” jelas beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham turut mengesahkan tiada pertambahan kes bagi Kluster Tawar.

“Namun begitu, saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan. Sehingga 24 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini,” ujar beliau.

Menurut beliau, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, tiada kematian direkodkan pada hari ini dengan jumlah kematian kekal 125 kes. – MalaysiaGazette