Najib Razak bersama Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini akan diperdengarkan dengan permohonan oleh pendakwaan meminda notis usul lucut hak terhadap pelbagai barangan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada 27 Ogos ini.

Selain mereka berdua, terdapat sebanyak 16 responden lain yang juga terlibat dalam pelucutan hak itu dan masing-masing tidak membantahnya.

Menurut Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, selain Najib dan Rosmah, responden lain juga tidak membantah tentang usul pindaan permohonan juga memberitahu ia akan didengar di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan.

“Kita telah failkan afidavit pada 11 Ogos lepas, semua pihak tidak membantah jadi pendengaran ini akan didengar pada 27 Ogos pada jam 11 pagi ini.

“Pada hari itu juga telah ditetapkan sebutan bagi usul difailkan sebelum ini,” katanya selepas pengurusan kes dalam kamar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas.

Faten juga memberitahu pindaan itu dibuat kerana adanya kesilapan pada nombor akaun bank, nama serta cawangan bank serta tarikh sitaan juga jenis akaun bank tersebut.

Notis usul oleh pendakwaan telah menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan.

Selain itu ialah Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Kesemua responden melibatkan seramai 18 penama keseluruhannya.

Pelucutan hak itu terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas sekitar tahun 2018 ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Antaranya barangan sitaan termasuklah 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu).

Sitaan di atas telah dilakukan pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Manakala barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama.

Sebanyak 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Selain itu sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain. –MalaysiaGazette