PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa enggan mencampuri pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana ia tidak terletak di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Sebaliknya Menteri Wilayah Persekutuan itu menyerahkan soal pengurusan KLFA kepada pengurusan sedia ada walaupun beliau mengakui teringin untuk kembali dalam arena bola sepak negara.

“Sampai sekarang pun saya tak campur KLFA, ia adalah satu badan sukan bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Walaupun ia satu persatuan bola sepak yang mewakili Kuala Lumpur secara keseluruhannya berstatus negeri tapi tidak dimiliki KWP dan bukan masuk dalam bidang kuasa kementerian.

“Kalau ikutkan memang teringin nak campur tangan, supaya nak tengok KLFA duduk teratas. Bola ini kita memang ada gila sikit, dia punya gian memang satu macam.

“Teringin sangat sebenarnya bukan saja KLFA termasuk Kelantan The Red Warriors dan sebagainya, tapi ia di luar tugas di kementerian,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

Annuar juga berkata, walaupun KLFA tidak diuruskan oleh KWP namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih sudi menghulurkan bantuan termasuk dana dan stadium.

“DBKL pun sudah tolong, bagi penajaan RM5 juta, itu sangat besar. Saya dulu jaga Kelantan, hanya dapat RM1 juta untuk satu penajaan.

“Ini bermakna KWP dan DBKL komited untuk membantu sepanjang tahun, saya ingat keseluruhan stadium itu diberi kepada satu persatuan sukan.

“Saya di Kelantan dulu saya tak dapat uruskan stadium, hanya satu perlawanan demi perlawanan, tapi DBKL bagi stadium untuk diuruskan malah tolong bayar lagi,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette