Saadatul Nafisah. foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa walaupun empat isu berkontroversi telah dipadamkan namun banyak lagi amaran berkaitan syarikat itu dikekalkan dalam laporan tersebut.

Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad berkata, selain daripada empat isu berkontroversi, amaran-amaran lain terus dibiarkan dalam laporan audit tersebut.

Saksi ketujuh itu mendedahkan perkara tersebut pada pemeriksaan balas dengan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy,

Shafee: Adakah anda bersetuju dalam jawapan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung laporan audit 1MDB ini sudah memberikan banyak lagi amaran-amaran (red flag) lain berhubung 1MDB?

Saadatul: Ya, benar.

Shafee: Adakah benar bahawa tidak ada sesiapa yang telah minta anda buang amaran-amaran berkenaan 1MDB? Betul?

Saya cadangkan kepada anda versi akhir laporan masih ada amaran dan tidak ada sesiapa yang telah meminta anda untuk memadamkan semua maklumat amaran. Ianya adalah satu laporan yang jujur berkenaan 1MDB. Betul?

Saadatul: Ya benar. Apa yang kami padam adalah empat perkara dalam laporan.

Shafee: Anda hanya padam apabila diberikan sebab justifikasi dan bukanlah memadamkan perkara tersebut begitu sahaja?

Saadatul: Benar.

Shafee: Masih ada banyak amaran lain dalam laporan akhir 1MDB yang tidak dipadam?

Saadatul: Ya, betul.

Empat isu dipersetujui untuk dipadamkan daripada laporan pengauditan termasuk isu dua penyata kewangan berbeza dan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada mesyuarat 1MDB walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam syarikat.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 22 dan 26 Februari 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 12 Oktober hadapan.