Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Lim Guan Eng pada Istiadat Keberangkatan Tiba Melafaz Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 16 turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin lupa bahawa segala tender terbuka yang diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah dibentangkan kepada Kabinet.

Guan Eng turut berkata Azmin telah menjadi pakar kelentong apabila menafikan bahawa segala projek rundingan terus diluluskan Kabinet.

“Dia sudah lupa daratan. Dulu dia buat macam itu, sekarang dia buat lain. Takkan dia lupa apa yang dibentangkan di Kabinet.

“Dia sudah jadi pakar kelentong,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin semalam ketika mencelah sesi penggulungan di Dewan Rakyat berkata, Guan Eng tidak pernah membentangkan senarai projek rundingan terus yang bernilai RM6.61 bilion ke Kabinet.

“Kita ada Menteri Kewangan yang berikan butiran, bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara sama.

“Jumlah RM6 bilion (projek rundingan terus) dan tidak betul bahawa Bagan (Lim Guan Eng) kata Kabinet tahu, …mana ada pembentangan senarai-senarai projek rundingan terus itu.

“Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet …tidak pernah,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Semuanya bermula tatkala sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul mendedahkan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.

Antaranya merangkumi perolehan bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang berupaya memudaratkan atau menjejaskan kepentingan negara jika tidak dilaksanakan dengan segera. – MalaysiaGazette