Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Negara memerlukan penglibatan lebih ramai kaum wanita dalam arena politik, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Berdasarkan pemerhatiannya menjadi menteri selama lebih dua tahun, Zuraida berkata, wanita yang menceburkan diri dalam politik seterusnya terlibat dalam pembuat keputusan dan dasar masih berada di tahap tidak memuaskan.

Justeru itu, beliau menyarankan agar wanita yang berminat  dengan politik diberikan latihan kepimpinan.

Jelas Zuraida, ini kerana menjadi ahli politik memerlukan pelbagai kemahiran termasuk pengurusan dan berkomunikasi.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Forum Hari Wanita di Institut Pengurusan Wanita (WIM) mempertimbangkan untuk mengadakan latihan kepimpinan politik khas untuk kaum berkenaan di institut berkenaan bagi memantapkan lagi kemahiran dan kemampuan memimpin wanita.

“Jadi saya ingat satu permulaan yang bagus jika ada perbincangan selanjutnya dengan WIM mengadakan satu lagi kursus. Politik memerlukan kebolehan pengurusan, kebolehan untuk berkomunikasi,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian Forum Hari Wanita, Zuraida berkata, ahli politik wanita perlu mampu menggalas tanggungjawab yang besar kepada rakyat, bukan hanya kerana wang dan kuasa semata-mata.

“Adalah amat penting untuk wanita tampil ke hadapan menyumbang dalam arena politik, walaupun mungkin dalam politik agak sukar bertahan, apatah lagi kalau perempuan, kena bersaing dengan lelaki,”katanya lagi. – MalaysiaGazette