Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di perkarangan Ibupejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak pernah cemburu dengan pengasas laman Facebook Hot Burger, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berhubung pendedahannya mengenai premis perjudian haram di Sungai Buloh.

Sebaliknya Jamal mahu Bukit Aman khususnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi layanan sama rata, apatah beliau sebagai pemimpin masyarakat yang bertanggungjawab membantu membanteras jenayah.

“Saya bukannya cemburu dengan Asri Janggut mungkin agaknya beliau bukan orang politik secara bersahaja tetapi matlamatnya sama.

“Apa yang saya perjuangkan ini bukanlah setakat di Sungai Buloh tetapi di seluruh negara terutamanya di Selangor.

“Saya berharap kepada Ketua Polis Negara memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan beliau,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman hari ini.

Empat tahun lalu, Jamal yang pernah mengetuai Gabungan NGO 1Malaysia pada 5 Julai 2018 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menceroboh kedai Starcom Trading dan Services, nombor 23 & 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas, Ampang jam 3.30 petang, 29 Disember 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 24 Ogos lalu, Jamal dipanggil untuk diambil keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta SKMM berhubung kenyataannya secara langsung di Facebook miliknya pada 19 Ogos lalu.

Kertas siasatan itu dibuka selepas Datuk Seri Abdul Samah Mat membuat laporan polis ke atasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas Jamal meminta Bukit Aman menyiasat kekayaan bekas Ketua Polis Selangor.

Susulan laporan polis itu, Jamal tidak menolak untuk membuat laporan salah guna kuasa dan salah laku rasuah terhadap Abdul Samah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

“Kalau tidak ada sebarang tindakan dan perkembangan positif di atas aduan saya ini, saya akan lihat waktu yang sesuai.

“Mungkin minggu hadapan saya akan buat satu laporan kepada pihak SPRM ataupun pihak SPRM sudah boleh siasat tentang perkara ini kerana banyak dilaporkan di media-media

Terdahulu Jamal dipanggil buat kali kedua ke Bukit Aman bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan laporan polis terhadapnya itu.

Bukit Aman juga turut merampas telefon bimbit, pemacu USB dan dokumen berkaitan dengan kenyataannya yang siar secara langsung di laman Facebook miliknya pada 19 Ogos lalu. – MalaysiaGazette