Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga daripada lima kes positif Covid-19  terbaharu hari ini merupakan penularan tempatan yang dikesan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka.

Dua kes dikesan melalui saringan pra-pembedahan manakala satu lagi menerusi saringan pesakit bergejala, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, tiga kes berkenaan  belum disahkan sebagai kluster baharu kerana punca jangkitan masih disiasat.

Terdahulu beliau memaklumkan dua lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu dari Filipina dan Mesir.

Dr Noor Hisham selain itu turut memaklumkan sebanyak 16 kes yang telah pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya 8,994 kes iaitu 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam sidang media perkembangan harian Covid-19 itu di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, selain itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan menurun kepada 177 kes.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, beliau juga menambah,  terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette