Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020, susut kepada RM941.73 juta akibat impak COVID-19 berbanding RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM11.79 bilion daripada RM13.05 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu menyifatkan prestasi kewangan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengurangan kadar faedah yang membabitkan sebahagian besar pasaran serantau akibat Covid-19.

Menurut bank itu, pendapatan berasaskan dana bersih bagi suku berkenaan juga merosot pada RM326.5 juta daripada tempoh sama tahun lepas, terutamanya akibat kerugian modifikasi Satu Hari susulan pelaksanaan moratorium menyeluruh bagi pembiayaan berkadar tetap dan potongan 50 mata asas (bps) Kadar Dasar Semalam (OPR).

Ini bagaimanapun diimbangi oleh pengurangan pinjaman lebih ketara, khususnya bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan gadai janji, pertumbuhan kukuh membabitkan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) yang sebaliknya meningkatkan nisbah CASA kepada 40.2 peratus selain membiayai pelan bantuan khas untuk segmen PKS.

Setakat 14 Ogos, 2020, kumpulan itu telah menyalurkan sejumlah RM1.4 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia kepada PKS.

Sejajar dengan persekitaran operasi yang lebih suram bagi suku terbabit, aspek kawalan kos kekal menjadi tumpuan utama kumpulan perbankan itu yang menyaksikan kos overhed berkurangan sebanyak 4.1 peratus kepada RM2.71 bilion dalam suku kedua 2020 daripada RM2.82 bilion pada suku sama tahun lepas.

Kerugian bersih rosot nilai bagi suku kedua 2020 bagaimanapun bertambah kepada RM1.74 bilion berbanding RM452.3 juta setahun lepas berikutan langkah kumpulan itu mengekalkan pendirian berhemat dan mengutamakan kemajuan masa depan berdasarkan kemungkinan penularan pandemik yang dijangka terus menjejaskan perniagaan dan individu global.

Mengulas prestasi bagi suku itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata,  keputusan itu hanya memaparkan apa yang telah dilalui oleh bank itu seperti PKP diperlukan bagi membendung penularan Covid-19, dasar susulan mengenai kadar faedah serta pendekatan proaktif membabitkan moratorium.

“Tempoh itu telah memberi kami peluang untuk melakukan penyelarasan sewajarnya agar dapat produktif semula dalam keadaan kini yang dikenali sebagai kebiasaan baharu.

“Selepas selesai, kami dapat menumpukan usaha untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik itu bagi meneruskan operasi perniagaan serta kehidupan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata strategi Maybank dalam mengekalkan paras mudah tunai dan modal yang tinggi terbukti banyak membantu bank itu, malah akan terus mempertahankan lembaran imbangan lebih kukuh bagi memastikannya berupaya merebut peluang perniagaan apabila keadaan pulih semula.

Pada masa sama, katanya, bank itu akan terus mencari peluang pertumbuhan sama ada dalam segmen pengguna dan perbankan global, insurans dan perbankan Islam selain meningkatkan tawaran digital bagi menguasai bahagian pasaran lebih besar.

“Selain itu, kami akan memperhebatkan tumpuan terhadap pengurusan kos dan risiko untuk kekal berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya.

Berikutan persekitaran semasa yang tidak menentu akibat Covid-19, Maybank akan terus mengutamakan aspek pemeliharaan modal dan mudah tunai dan atas alasan itu ia tidak akan mencadangkan dividen interim bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2020. –  MalaysiaGazette