Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kiri) pada Program Minum Petang Bersama Pengundi India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Pejabat MIC Tanjung Malim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2020

SLIM RIVER – Datuk Seri Najib Razak tetap menyalahkan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu rundingan terus projek kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan berkata, isu tersebut tidak wajar dituding semula kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana ia berlaku ketika PH mentadbir negara selama 22 bulan lalu.

“Yang jadi isu ini bukan zaman kita, yang jadi isu ni zaman PH. Sebab PH kata dia janji tiada rundingan terus. Itu pokok dia dia sudah janji.

“Tapi kita tahu sebaliknya berlaku…itu yang menjadi persoalannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis minum petang bersama pengundi India di Pejabat MIC Tanjung Malim, Bandar Baru Slim sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan kebanyakan projek rundingan terus yang dikatakan berlaku di zaman PH merupakan projek yang diwarisi atau sambungan daripada zaman Barisan Nasional (BN).

Menurut Guan Eng, pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen berhubung rundingan terus berjumlah RM6.61 bilion baru-baru ini sebenarnya hanya RM352 juta daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan. – MalaysiaGazette