Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) beramah mesra bersama kanak-kanak sambil mengedarkan Jalur Gemilang pada Program Walkabout dan Edaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-63 di sekitar Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Penerangan Malaysia telah mengedarkan lebih 300,000 Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 63 tahun ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, pengedaran bendera kebangsaan itu yang dibuat sejak Julai lalu yang menjadi acara tahunan kementerian itu.

“Ini adalah lanjutan daripada program ‘Information on wheels’ yang menang dilaksanakan khususnya Jabatan Penerangan Malaysia.

“Jabatan Penerangan telahpun mengedarkan bendera ini sejak 28 Ogos Julai di setiap daerah dalam negara.

“Bendera yang telah diedarkan di 2,022 lokasi di seluruh negara dan sebanyak 300,000 bendera diedarkan,” katanya dalam sidang media selepas mengedarkan Jalur Gemilang di tiga buah lokasi di Wilayah Persekutuan hari ini.

Pengedaran itu diadakan sempena program konvoi ‘Information on wheels’ dan turun padang hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ini melibatkan tiga lokasi utama iaitu di Little India, Brickfields, Jalan Pasar, Pudu dan Kampung Baru melihatkan 13 buah kenderaan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata rakyat Malaysia digesa untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing dengan memuatnaik eksperimen dengan menggunakan hashtag Momen Negaraku dalam pelbagai bentuk foto, video Tik Tok di media sosial.

“Sejak beberapa hari yang lalu kita telah war-warkan #momennegaraku dimana kita menyeru rakyat untuk kongsi momen-momen indah mereka sebagai rakyat Malaysia di kedai sosial dengan menggunakan #momennegaraku dan nampaknya sambutan begitu baik sekali. Ada beberapa yang lebih tular daripada yang lain.

“Ada yang ambil gambar pasang bendera, memperagakan pakaian tradisional,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik rakyat Malaysia di negara ini, semua rakyat negara ini digesa untuk bangun dan menyanyikan lagu Negaraku tepat jam 12 tengah malam esok.

Aktiviti itu katanya boleh dibuat dimana-mana sahaja demi menunjukkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau boleh dimana sahaja kita berada termasuk di luar negara berdiri di tempat kita berada dan sama nyanyikan lagu Negaraku tepat detik 12 tengah malam.

“Jadi nyanyikan lagu Negaraku ditempat masing-masing dan kongsikan di media sosial, videokan dan kongsikan di media sosial dengan menggunakan #momennegara,” katanya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos pada Isnin ini melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen. – MalaysiaGazette