Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam corak yang sama minggu depan dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran ketat antara 1,540 hingga 1,560 apabila pelabur mula melakukan aktiviti membeli saham berharga murah.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, penurunan 3.3 peratus indeks utama bagi minggu ini selepas ditutup pada 1,525.21 mata pada Jumaat menyediakan peluang untuk mengumpul saham tertentu terutamanya saham pengeluar sarung tangan yang terjejas berikutan berita Russia kini bersedia untuk meluluskan vaksin COVID-19 kedua.

“Bagi tempoh jangka masa panjang, permintaan terhadap sarung tangan getah dijangka kekal tinggi walaupun selepas vaksin berjaya diperoleh kerana kesedaran tentang kebersihan semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata indeks utama itu mungkin terhenti seketika atau sekurang-kurangnya kekal dalam jajaran kecil minggu depan apabila pasaran terus berharapkan kepada keyakinan yang muncul semula pada September.

“Bagaimanapun pasaran tidak dijangka susut dengan begitu banyak kerana pelabur runcit kekal dalam situasi membeli saham berharga rendah dengan menjangkakan keadaan dasar monetari tempatan yang lebih longgar dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Dana Areca Capital Sdn Bhd Danny Wong Teck Meng berpendapat memandangkan kebanyakan pelabur telahpun mengambil kira prestasi pendapatan korporat yang buruk pada suku kedua, trend belian dijangka muncul minggu depan.

“Disebabkan pelabur merasakan keadaan sukar telah berakhir (bagi syarikat-syarikat) yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan pada Suku Kedua 2020, mereka akan membeli saham berharga rendah memandangkan suku yang akan datang dijangka menghasilkan keputusan yang lebih baik,” kata Wong sambil menambah indeks itu dijangka terus diniagakan dalam jajaran 1,500.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, indeks FBM KLCI diniagakan kebanyakannya bercampur-campur apabila pengambilan untung berselang seli dengan aktiviti membeli saham berharga rendah antara saham wajaran tinggi dan saham berharga rendah, di tengah-tengah kekurangan pemangkin baharu dan prestasi kurang memberangsangkan laporan pendapatan korporat bagi suku kedua.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 51.91 mata kepada 1,525.21 pada Jumaat minggu yang baru berakhir ini berbanding 1,577.12 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 264.50 mata kepada 11,085.58, Indeks FBMT 100 susut 272.49 mata kepada 10,886.75 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 263.16 mata kepada 13,166.65.

FBM 70 naik 11.11 mata kepada 14,747.39 dan Indeks FBM ACE meningkat 57.39 mata kepada 10,979.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 383.72 mata kepada 12,642.77 tetapi Indeks Perladangan meningkat 17.62 mata kepada 7,057.28 dan Indeks Teknologi menokok 0.53 mata kepada 56.79.

Indeks Penjagaan Kesihatan mengukuh 125.55 mata kepada 4,222.31 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 5.77 mata kepada 136.50.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 57.16 bilion unit bernilai RM33.39 bilion berbanding 35.68 bilion unit bernilai RM23.9 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 32.00 bilion saham bernilai RM25.44 bilion daripada 18.33 bilion saham bernilai RM17.35 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 3.05 bilion unit bernilai RM920.78 juta daripada 2.35 bilion unit bernilai RM934.36 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 22.05 bilion saham bernilai RM7.00 bilion berbanding 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion pada minggu sebelumnya. – MAlaysiaGazette