Calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz mencium tangan bapanya, Aziz Nordin (kanan) sambil diperhatikan isterinya, Juliana Sarip selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2020.

KIALA LUMPUR – Kemenangan Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim adalah isyarat jelas mandat rakyat diberikan dengan padu untuk Perikatan Nasional kekal mentadbir Malaysia.

Keputusan ini juga merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat sudah menolak Pakatan Harapan untuk kembali memerintah Malaysia dan rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsu Pakatan Harapan.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, DUN Slim adalah satu referendum rakyat menolak Pakatan Harapan yang mana jurang majoriti yang meningkat sehingga berkali-kali ganda jika dibandingkan dengan PRU-14 lalu.

Pada tahun 2018, BN menang dengan 8,327 undi (majoriti 2,183), manakala kali ini pada tahun 2020, BN menang besar dengan 13,060 undi (majoriti 10,945),

Ini memberikan isyarat jelas bahawa persefahaman dan kerjasama Muafakat Nasional makin teguh antara UMNO dan Pas seterusnya Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera.

Malah, katanya, pengundi Pas menunjukkan setiakawan melalui Muafakat Nasional untuk mengundi Barisan Nasional, hingga keseluruhan undi mereka pada PRU-14 diberikan kepada BN.

”Orang Cina dan India di DUN Slim menolak politik rasis Pakatan Harapan dengan memberikan undi mereka kepada calon Melayu Barisan Nasional.

“Bahkan orang Cina dan India sudah beralih arah daripada Pakatan Harapan dan mengundi Barisan Nasional setelah melihat kegagalan Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan,” katanya yang menyifatkan Mohd Zaidi menang bergaya.

Shahir menambah, anak muda tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda Pakatan Harapan yang dicanang sebelum ini.

“Jelas, anak muda mual dan muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette