Dua petugas KKM membuat pemeriksaan wabak Covid-19 keatas orang awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!".
Begitulah laungan keramat sebanyak tujuh kali yang dilontarkan oleh Bapa Kemerdekaan
Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Laungan yang bergema di segenap penjuru
Dataran Merdeka, 63 tahun lalu telah disambut oleh lebih 20,000 rakyat Tanah Melayu yang memenuhi dataran berkenaan dengan penuh semangat dan emosi. Saban tahun, lazimnya hari bersejarah ini akan disambut dengan pengisian sejarah perjuangan rakyat berbilang kaum di Malaysia dalam menuntut kemerdekaan yang turut diwarnai dengan program-program bersifat patriotik. Pastinya, ramai di kalangan masyarakat kita yang sudah arif tentang tanggal 31 Ogos dimana Tanah Melayu telah bebas dari cengkaman penjajah dan mencapai kemerdekaan.

Ironinya, adakah mereka benar-benar faham dan menghayati makna sebenar disebalik
kemerdekaan yang telah dikecapi? Atau ia adalah sekadar catatan sejarah semata-mata?
Jika dahulu,sebelum mencapai kemerdekaan negara kita telah dijajah dengan zalim oleh banyak kuasa asing. Rakyat Tanah Melayu telah berhadapan dengan kacau bilau yang ditimbulkan oleh Parti Komunis Malaya. Segala keringat, air mata dan darah para pejuang kemerdekaan serta rakyat Tanah Melayu yang gugur akhirnya terbalas apabila negara kita mencapai kemerdekaan dan bebas dari cengkaman penjajah. Namun pada masa kini tanpa disedari, rakyat Malaysia pada hakikatnya sedang dijajah oleh suatu musuh halimunan yang digelar virus Covid-19.

Wabak Covid-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini masih menular di Malaysia dan serata dunia. Perangkaan data terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan wabak yang mencetuskan masalah kesihatan awam dunia ini telah mencatat lebih dari 22 juta kes di seluruh dunia dan angka kematian sebanyak 779,976 orang. Malah ia melibatkan 216 buah negara yang terjejas berikutannya. Di Malaysia pula, wabak Covid-19 telah memberi kesan yang sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara. Impaknya juga turut melibatkan institusi keluarga sehinggalah kepada aspek kesejahteraan manusia.

Elemen perpaduan merupakan teras utama dalam mencapai kemerdekaan. Ia harus diberi
perhatian kerana pemupukan hubungan etnik memainkan peranan penting bagi negara kita yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dalam menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara. Sepertimana yang termaktub dalam sejarah Tanah Melayu, sistem ahli 1951 yang telah dibentuk merupakan salah satu usaha mencapai kemerdekaan negara. Ia merupakan usaha penting dalam mewujudkan perpaduan antara kaum pada ketika itu. Tokoh-tokoh yang menganggotai Sistem Ahli 1951 terdiri daripada semua kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Pembentukan Sistem Ahli ini telah membuktikan bahawa elemen perpaduan seharusnya tidak dipandang enteng dalam menjayakan sesuatu misi negara. Konsep yang sama harus diterapkan dalam setiap diri masyarakat kita ketika melawan jajahan virus Covid-19. Hal ini telah ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda tempoh hari. Baginda menggesa rakyat malaysia untuk terus bersatu padu memerangi pandemik
Covid-19 dan dalam masa yang sama menzahirkan rasa bangga melihat solidariti rakyat
berbilang kaum di negara ini. Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, juga turut menekan nilai bersatu padu ini dalam salah satu sidang media harian KKM berkaitan Covid-19 ini. Menurut beliau, negara ini boleh mengurangkan jangkitan sekiranya setiap rakyat bersatu padu dan berusaha bersama mengekang penularan pandemic Covid-19.

Bertitik tolak daripada ini, dalam mewujudkan elemen bersatu padu dalam berhadapan dengan Covid-19 setiap dari kita harus mempunyai rasa bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan antara satu sama lain. Ambillah ikhtibar dan contoh dari apa yang telah dilakukan oleh setiap pejuang kemerdekaan dan rakyat Tanah Melayu pada masa dahulu. Tanpa mengenal perbezaan bangsa dan agama, mereka telah bersama-sama berjuang dalam membina negara kita yang tercinta ini. Kewujudan kluster ‘sivagangga’ dan ‘makcik gelang pink’ serta kebanjiran lebih satu ribu rakyat Malaysia dalam perhimpunan solidariti penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tidak harus dipandang remeh kerana kluster ini membuktikan masih ada di kalangan masyarakat kita yang mementingkan diri sendiri
dan tidak menghiraukan arahan kerajaan dalam menekang penularan virus pembunuh yang telah meragut jutaan nyawa.

Janganlah kita mensia-siakan usaha barisan hadapan (frontliner) yang telah memerah seluruh keringat dan tenaga mereka dalam merawat dan membanteras penularan wabak Covid-19 ini. Sudah tiba masanya untuk setiap rakyat Malaysia pula memainkan peranan masing-masing dan bersatu padu dengan mematuhi setiap arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan. Bagi mencapai kemerdekaan dari jajahan wabak Covid-19 ini, negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Slogan seperti ‘#kitajagakita’, ‘let’s fight Covid-19’ dan banyak lagi adalah antara usaha
mewujudkan rasa kekitaan, semangat bersatu padu dan kerjasama antara rakyat Malaysia. ‘Malaysia Prihatin’ turut menjadi pilihan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini dalam meraikan usaha semua pihak memerangi pandemik Covid-19. Semangat Malaysia Prihatin ini seharusnya disemarakkan dari segenap aspek kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak Covid-19, malah turut dihayati seta diamalkan dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia juga berkata sewaktu menyampaikan amanat sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 pada Julai lalu, Malaysia Prihatin perlu disemat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia bagi mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan sejagat. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa tema tersebut menunjukkan inisiatif kerajaan merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat dalam mendepani cabaran wabak ini.

Kesimpulannya, seluruh rakyat Malaysia tidak seharusnya bersikap ‘acuh tak acuh’ dalam aspek melibatkan isu perpaduan rakyat di negara ini. Dalam mencapai kemerdekaan dari jajahan virus Covid-19, setiap dari kita harus bersama-sama menanamkan azam dan misi yang satu supaya negara kita bebas dari wabak ini dan dapat mengukuhkan kembali aspek kesihatan dan ekonomi negara khususnya.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz @Dorashid, adalah Pensyarah Kanan, Program
Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia