KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 253 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Daripada jumlah itu seramai 219 individu telah dikompaun manakala 32 individu pula direman dan dua orang dijamin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 64,929 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, bagi tujuan itu sebanyak 5,170 pasukan pematuhan melibatkan 17,765 anggota telah membuat pemantauan di 3,579 pasar raya.

Menurut beliau, pemantauan turut dilakukan ke atas 4,805 restoran serta 1,182 penjaja, 1,052 kilang, 3,631 bank dan 649 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,082 terminal pengangkutan darat, 211 terminal pengangkutan air serta 75 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, antara kesalahan ingkar arahan PKP yang direkodkan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam yang  membabitkan 116 premis, 23 kes gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk dan 26 kes tidak memakai pelitup muka.

Katanya, terdapat juga dua kesalahan premis beroperasi lebih masa dan dua kes ceroboh pusat kuarantin.

“Malah 70 kes kesalahan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, satu kes gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin, 13 kes terlibat dalam aktiviti perjudian,” ujarnya. – MalaysiaGazette