KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyediakan insentif pengecualian duti setem kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi aktiviti
penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Insentif itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam usaha untuk membina keupayaan syarikat tempatan dan menyokong PKS yang terjejas dalam landskap semasa yang mencabar ini.

Insentif berkenaan dikhaskan kepada syarikat PKS milikan penuh rakyat Malaysia dalam semua sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Ianya diwujudkan untuk membantu membina keupayaan syarikat tempatan dan menggalakkan penggabungan antara dua entiti PKS atau pengambilalihan entiti PKS oleh entiti PKS yang lain untuk menjadi satu entiti perniagaan baharu yang lebih besar melalui suratcara dan kontrak undang-undang.

”Kerajaan melihat usaha penggabungan dan pengambilalihan di kalangan PKS ini dapat membantu memperkasakan keupayaan PKS dan mengelakkan berlakunya kemerosotan syarikat kesan daripada penularan wabak Covid-19 dengan memperkukuhkan akses kepada dana dan aset berharga untuk pembangunan baharu.

“Selain itu, aktiviti ini juga memberi peluang kepada entiti perniagaan baharu untuk berkongsi dan mendapatkan pengetahuan dan kemahiran tambahan, serta kakitangan
yang berkualiti, di samping mengurangkan kos,” kata MEDAC dalam satu kenyataan hari ini.

Pengecualian duti setem ke atas instrumen bagi aktiviti M&A ini merangkumi kos kontrak atau perjanjian untuk penjualan atau pajakan harta tanah (termasuk tanah, bangunan, mesin dan peralatan); Suratcara Pemindahan dan Memorandum
Persefahaman; Pinjaman atau Perjanjian Pembiayaan; dan Perjanjian Penyewaan Pertama.

Permohonan insentif ini hanya layak bagi PKS yang melaksanakan aktiviti M&A dalam tempoh antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 sahaja.

Borang permohonan insentif ini boleh dimuat turun melalui laman web SME Corp. Malaysia di www.smecorp.gov.my dan permohonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2021.

Sebarang pertanyaan berkaitan insentif ini boleh diajukan ke Talian Hotline PSK MEDAC di 1-300-88-1020 atau Talian Info SME Corp. Malaysia di 1-300-30-6000 atau emel ke [email protected]. – MalaysiaGazette