Lima kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) dan empat orang awam diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan reman bagi kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.

31 Ogos adalah tarikh keramat negara. Bendera Union Jack diturunkan dan bendera
Tanah Malaya dinaikkan dan berkibar megah dan laungan keramat sebanyak tujuh kali yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman adalah petanda atau saat bahawa Tanah Malaya telah bebas dari cengkaman penjajah. Merdeka ini adalah sebuah nikmat yang mesti disyukuri oleh semua rakyat yang bernaung dibawah Jalur Gemilang dan Perlembagaan Malaysia yang luhur. Hasil keringat pejuang-pejuang kemerdekaan lebih enam dekad dahulu mesti dihargai, dikenang dan dihayati.

63 tahun merdeka daripada cengkaman penjajah penguasa adalah tidak bermakna
jika diri masih dijajah dan dibelenggu oleh pemikiran sempit, mundur dan pasif. Inilah
perlunya minda dan jiwa yang merdeka. Kehidupan harian masyarakat berbilang kaum akan lebih harmoni dan sentosa jika masyarakatnya berjiwa besar dan berfikiran terbuka dan lahirlah sikap toleransi antara kaum di tanah air tercinta ini. Namun begitu, kita seringkali disajikan dengan berita-berita kurang enak apabila menyebut soal berfikiran terbuka. Berfikiran terbuka tidak bermakna masyarakat perlu menerima segala perbuatan “baharu” yang dikatakan mengikut peredaran zaman, tetapi berfikiran terbukalah dalam
menyelesaikan isu dengan berdiskusi dan elakkan permusuhan dek kerana berlainan aliran pemikiran. Meraikan perbezaan adalah lebih baik daripada menang bicara di gelanggang perdebatan tanpa meninggalkan kesan baik kepada masyarakat umum.

Di samping itu, kemajuan dunia mendesak setiap ahli masyarakat untuk menjadi
lebih agresif, progresif dan aktif dalam kehidupan seharian. Begitulah juga dengan
pembangunan negara yang pesat, ia mestilah bergerak seiring dengan pembangunan
insaniah tanpa mengetepikan keperluan menjaga akhlak dan menjaga diri sebagai seorang manusia. Kini, harta adalah tuan manakala si kaya adalah tuhan. Mengumpul kekayaan bukan suatu kesalahan tapi jangan kerana ingin kaya, masyarakat hilang akhlak. Rasuah yang bermaharajalela adalah tanda masyarakat bertuankan harta dan bertuhankan si kaya yang ada kuasa.

Ramai dari ahli masyarakat yang tahu ia adalah perkara fasad dan batil tetapi masih
bersama dan terus menyokong kebobrokan. Ini adalah tanda diri belum merdeka kerana
akal tidak selari dengan jiwa manusia yang diciptakan bersih dan cintakan kebersihan.
Bersih bermakna bebas daripada kecenderungan kepada kebobrokan. Inilah pentingnya
ilmu dalam diri setiap masyarakat kerana ilmu mematangkan fikiran, ilmu menjaga diri dalam menilai baik dan buruk serta ilmu akan bersama akal memandu diri bukan “diri” pandu akal. Ia jelas, ilmu sangat penting dalam kehidupan seharian masyarakat moden kini.

Akhirul kalam, akal yang merdeka akan melahirkan jiwa yang merdeka dan jiwa yang
bersih akan memerdekakan diri daripada dibelenggu ide-ide mundur dan akhirnya
memerdekakan diri daripada “penjara diri”.

Birr Zamier bin Abu Bakar.
Masjid Tanah, Melaka.

1 Komen

Comments are closed.