Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pentadbiran kerajaan yang tidak rasis serta memperjuangkan keadilan kepada semua pihak.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin yang memberitahu, pentadbiran Perdana Menteri merentasi kaum dan agama serta berdepan cabaran sepertimana yang terkandung dalam al-Quran.

Beliau berkata, pengumuman terhadap Dana Prihatin berjumlah RM250 bilion menerusi Pakej Rangsangan Prihatin yang diterima rakyat termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) kepada peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan guna rezab untuk kebaikan rakyat demi ekonomi negara agar meningkat. Ekonomi yang baik mengatasi masalah kaum. Tidak timbul isu Melayu atau bukan,” katanya.

Beliau berkata demikiam ketika menjadi panelis pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di pentas sama berkata, kerajaan hari ini mempunyai pelan tindakan yang kukuh untuk menyempurnakan tiga elemen iaitu transformasi ekonomi, transformasi pendidikan dan budaya.

Bagaimanapun beliau berkata, elemen ketiga itu masih memerlukan sebuah tindakan lebih radikal yang melibatkan para pemimpin dan pemikir dalam pelbagai bidang.

“Tanpa elemen yang paling penting ini, negara kita adalah umpama kereta lumba Formula 1 yang tiada pemandu, maka kekal sebagai ‘first world country, third world citizens’ (kemudahan seperti negara maju tapi minda rakyat seperti negara mundur).

“Tanpa adab yang sempurna yang boleh dipamerkan dengan budaya yang luhur, kita kekal sebagai bangsa yang terjajah dan tidak sekali-kali mampu mencapai potensi tertinggi kita sebagai khalifah di bumi Allah ini.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini, sama-samalah kita sambut dengan keinsafan dan iltizam untuk menjayakan kemakmuran bersama demi Malaysia dan umat manusia juga,” ujarnya. – MalaysiaGazette