Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd. Noor Mat Yazid berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Asas yang membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah membina semula sebuah kerajaan didominasi Melayu Islam.

Penganalisis politik, Prof Madya Mohd Noor Yazid berkata, asas sejarah politik hubungan kaum itu berulang dalam politik Malaysia apabila orang-orang Melayu kembali bersatu membentuk kerajaan dan bekerjasama apabila melihat kedudukan dan hak istimewa mereka mungkin terancam.

“Asas kerjasama Bersatu, UMNO dan Pas dilihat lebih kepada kerjasama parti-parti politik Melayu Islam.

“Walaupun saya tidak menafikan tentang percaturan kuasa politik yang berlaku pada akhir Februari 2020 adalah bagi membentuk dan proses mendapatkan kuasa tetapi faktor agama-bangsa adalah salah satu faktor penting yang menjadi realiti yang tidak boleh diketepikan dalam percaturan politik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.

Menurut Mohd Noor, asas pergolakan politik dan proses kerjasama yang berlaku pada Februari lalu mempunyai beberapa persamaan dengan semangat kerjasama orang-orang Melayu sewaktu menentang Malayan Union pada tahun 1946.

Katanya, kegagalan kerjasama politik antara Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA-PUTERA) pada tahun 1940-an, kerjasama parti-parti politik Melayu pada tahun 1970-an (khususnya antara UMNO dan Pas selepas Peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada kerjasama Pas-UMNO dan pembentukan Barisan Nasional).

Tambah beliau, perkembangan politik yang berlaku pada Februari lalu juga mempunyai persamaan dengan perkembangan politik dan tindakan orang-orang Melayu yang berlaku sejak tahun-tahun awal selepas Perang Dunia Kedua.

“Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan runtuh sekiranya dominasi dan kedudukan orang-orang Melayu dalam kerajaan kuat, benar-benar terjamin dan diyakini oleh majoriti bangsa Melayu.

“PN yang terbentuk pada awal Mac lepas tidak boleh lari daripada asas serta falsafah politik yang mempunyai matlamat dan asas dominasi Melayu Islam. – MalaysiaGazette