Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Satu kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster MV Glen hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkenaan merupakan isteri kepada kes positif kluster yang telah dilaporkan pada 30 Ogos 2020 (iaitu kes ke 9332).

Katanya, beliau telah dikenalpasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat.

“Susulan kes baharu kluster MV Glen itu, sehingga 2 September 2020, seramai 58 orang telah disaring untuk ujian Covid-19 dan tiga kes daripadanya dikesan positif manakala 16 lagi individu dikesan negatif sementara 39 lagi individu masih menunggu keputusan.

“Saringan sign-on dan sign-off adalah penting kerana ia merupakan salah satu langkah bagi memantau kawalan sempadan negara untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dari luar negara menular masuk ke dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan telah diwujudkan bagi pelaut yang memasuki Malaysia yang antaranya membabitkan proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan Kerajaan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu, seramai 12,870 orang telah disaring di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, Aman Jaya, Kedah.

“Daripada jumlah ini satu kes dikesan positif Covid-19 manakala 12,687 lagi individu adalah negatif sementara 182 individu lagi masih menunggu keputusan ujian saringan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani ujian saringan Covid-19. – MalaysiaGazette