Tan Sri Rais Yatim bersiap sedia mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu dilantik Tan Sri Rais Yatim hari ini menasihatkan semua senator Dewan Negara mengenepikan perbezaan politik demi memelihara kesucian Dewan Negara.

“Dalam 63 tahun yang lampau, setiap kali Yang Amat Berhormat yang berleluasa mengemukakan calonnya dan tiada cacat cela dan tiada bantahan kecuali hari ini. Jika sedemikian pandangan kita bukan bermakna kita tak bersatu.

“Dan jika sedemikian bukan bermakna kita tidak menuju kepada perjuangan yang ulung. Justeru itu, mengembalikan pandangan kita kepada Perlembagaan sumpah taat setia kita adalah tanggungjawab kita bersama sebagai ahli berhormat senator,” katanya dalam ucapan pertama kali sebagai Speaker Dewan Negara hari ini.

Ini kerana hari sidang hari pertama mesyuarat menyaksikan berlaku kekecohan susulan beberapa senator daripada pembangkang mempersoalkan cadangan Rais sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.

Cadangan Rais dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam pada itu, Rais dalam sidang media selepas mengangkat sumpah pula berkata, walaupun ini merupakan kali pertama dalam sejarah cadangan Yang Dipertua Dewan Negara diusulkan oleh Perdana Menteri ditolak oleh senator pembangkang namun beliau langsung tidak terasa hati dengan perkara itu.

“Saya mohon yang berhormat supaya kepakaran ditentukan Perlembagaan ini kita hormati dan setiap kita mempunyai latar belakang profesionalisme ini dicerminkan dalam perbahasan kita. Kita pupuk supaya anggota senator dihormati.

“Sambil kita berjuang untuk kebaikan, kita berikan sedikit asuhan sebagai budaya tinggi sebagai ahli yang berhormat. Berselisih faham di sini bukan bermusuh dan tidak bersependapat bukanlah kita tidak sehaluan,” katanya.

Rais diangkat menjadi Speaker Dewan Negeri menerusi undian daripada ahli-ahli senator di Dewan Negara.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu mendapat 45 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Yusmadi Yusoff mendapat 19 undi.

Seorang Ahli Senator tidak mengundi kerana tidak hadir. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rais Yatim dilantik Yang Dipertua Dewan Negara baharu