Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed melawat tapak projek naik taraf Kompleks Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Kerajaan mahu projek-projek pembangunan di negara ini dilaksanakan dengan segera selepas terbantut akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejumlah RM69 bilion telah diperuntukkan untuk projek-projek pembangunan pada tahun ini bagaimanapun setakat 16 Ogos lalu kurang 50 peratus atau hanya RM33.4 bilion telah dibelanjakan.

Ini katanya, telah menjadi isu kepada kerajaan kerana sektor pembinaan adalah penting dalam membantu pemulihan ekonomi negara terutamanya pasca Covid1-19.

“Unit Perancangan Ekonomi sentiasa memantau secara berkala prestasi projek-projek pembangunan.

“Bagaimanapun setakat 16 Ogos hanya 48.48 peratus sahaja yang telah dibelanjakan.

“Ini sudah pastilah disebabkan oleh banyak faktor antaranya Covid-19 tetapi kita telah dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tindakan telah diambil bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek pembangunan di negara ini,” katanya semasa sidang media selepas melawat tapak projek menaik taraf asrama Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil hari ini.

Jelas Mustapa, antara tindakan yang diambil oleh KKR dan JKR adalah mempercepatkan proses untuk memasuki tapak projek kepada tiga hingga empat bulan selepas tender dikeluarkan berbanding tujuh hingga lapan bulan sebelum ini.

Selain itu, pembayaran kepada kontraktor juga dipercepatkan daripada sebulan sekali kepada dua minggu sekali.

Selain itu, KKR dan JKR juga telah mengeluarkan 251 tender pelbagai projek kerajaan sejak Jun lalu.

Terdapat 133 tender lagi yang masih belum dikeluarkan, ujarnya.

Dalam pada itu, Mustapa turut memaklumkan bakal mengadakan pertemuan dengan persatuan kontraktor susulan aduan yang diterima mengatakan mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Perkara tersebut katanya, dibangkitkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Bank-bank mengklasifikasikan sektor pembinaan sebagai sektor yang berisiko.

“Ini menyebabkan para kontraktor sukar untuk mendapatkan pinjaman jadi saya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan kontraktor pada petang ini bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas mengenai isu ini,” katanya sambil menambah, sektor pembinaan merekodkan penguncupan hampir 50 peratus pada tujuh bulan pertama 2020.

Menyentuh mengenai projek menaik taraf asrama dan podium Majlis Sukan Negara, Mustapa berkata, projek yang bermula sejak 2016 itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir Oktober ini. – MalaysiaGazette