Abdul Jalil Ghani

KOTA KINABALU – Warisan-PH Plus seperti pandang sebelah mata sahaja dalam isu-isu yang sebenarnya membelenggu rakyat jelata di negeri ini.

Mereka hanya agresif dalam mendapatkan undi masyarakat setempat sehingga lupa hakikatnya banyak lagi permasalahan yang masih tinggal janji kosong.

Ini termasuklah isu hak milik tanah yang sehingga kini masih lagi menjadi persoalan penduduk Sabah malah gabungan Warisan itu dilihat seperti tidak begitu ikhlas dalam mendalami jauh sekali menyelesaikannya.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan Parti Cinta Sabah (PCS), Abdul Jalil Abdul Ghani, tampak dari gayanya Warisan Plus jauh lebih berminat dengan stategi demi strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.

Sambil memberikan contoh tentang Kampung Sembulan Tengah dan Sembulan Lama, kata Abdul Jalil, sebenarnya Warisan Plus telah gagal tangani mahupun mendengar rintihan lebih 3,000 penduduk di situ yang mendedahkan mereka di pinggirkan.

“Nampaknya Ketua Menteri ‘caretaker’ merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sibuk ke hulu ke hilir, apa yang di buatnya pula tidak begitu pasti lagi, janji retorik yang tabur sana sini sahaja.

“Shafie nampak begitu agresif berkempen seluruh negeri kononnya mahu tunjuk mengambil berat kebajikan rakyat dengan menyerahkan hak milik tanah dan mewartakan kawasan perkampungan baharu.

“Percayalah, ini hanya sekadar strategi pilihan raya klasik untuk memenangi hati rakyat. Semuanya berjalan seperti di rancang sehinggalah penduduk Kampung Sembulan Tengah dan Sembulan Lama tampil mendedahkan masalah hak milik tanah kepada Shafie tiga tahun lalu tetapi gagal mendapat maklum balas positif.

“Jadi, mengapa beliau sibuk menyerahkan dokumen hak milik tanah dan mewartakan perkampungan baharu pada ketika ini apabila menghadapi PRN? Apakah ini juga gimik pilihan raya demi undi semata-mata?

“Malah isu penduduk berkenaan sudah lama boleh diselesaikan ketika masih menjadi Ketua Menteri. Mengapa tidak melakukannya awal-awal lagi ketika mengetahuinya ?,” soalnya dalam kenyataan lewat malam ini.

Isu penderitaan penduduk kampung akhirnya terdedah apabila jurucakapnya, Osman Omar Khan tampil menceritakan kepada media bagaimana Warisan dan gabungannya telah berjanji ‘sakan’ menyelesaikan masalah mereka.

Malah selama ini para penduduk itu hidup dalam keadaan takut akan di halau keluar dari penempatan masing-masing berikutan tanah tersebut telah di wartakan untuk tujuan pembangunan

Dakwa Osman penduduk setempat telah menyerahkan memorandum berhubung isu ini kepada Mohd Shafie tiga tahun lepas bagi campur tangannya namun tidak ada apa-apa langsung.

Abdul Jalil berpandangan ketakutan penduduk di dua perkampungan itu amat wajar kerana mereka mungkin akan kehilangan tempat tinggal sekiranya diusir dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada projek pembangunan baharu.

Soal Abdul Ghani lagi, mengapakah suara serta rayuan penduduk-penduduk ini langsung tidak kedengaran untuk Mohd Shafie dan yang lain-lain.

“Pelik sekali, anda ada kuasa sebenarnya. Adakah suara golongan ini kecil dan tidak berkepentingan untuk anda? Mengapa tuli dan buta kamu semua sehingga mereka hidup siang malam dalam ketakutan?

“Adakah ini rupa seorang Ketua Menteri juga pemimpin dalam gabungan itu? Kini kamu hendak lagi undi mereka. Sudahlah, jangan sampai begini sekali kamu aniya rakyat negeri kamu sendiri.

“Shafie dan Warisan mengambil kredit berhubung isu mengembalikan hak pajakan negara dari 99 tahun kepada 999 tahun walaupun mereka hanya mematuhi perintah mahkamah sebagaimana yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri.

“Namun, apabila penduduk Kampung Sembulan Tengah dan Lama merayu kepada Shafie agar mereka dapat tinggal sekurang-kurangnya 10 tahun lagi di tanah tersebut yang sudah menetap sekian lama, beliau masih gagal memberi respon.

“Saya hilang kata-kata sebenarnya, sayu melihat keadaan serta penderitaan para penduduk kampung ini manakala pemimpin Warisan Plus ke hulu ke hilir cari undi,” tegasnya. -MalaysiaGazette