Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu dikenali Depot Tahanan Imigresen Semenyih 2 di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal beliau.

“Justeru, beliau (tahanan) telah disaring untuk Covid-19 di Klinik Kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9302).

“Kes kedua dan ketiga kluster (iaitu kes ke-9382 dan kes ke-9384) merupakan pegawai imigresen di DTI (Depot Tahanan Imigresen) tersebut yang telah mengiringi kes indeks ke Klinik Kesihatan bagi saringan Covid-19.

“Mereka adalah dua daripada empat orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang telah dikesan positif Covid-19 dan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster itu melibatkan 134 tahanan iaitu 129 merupakan kakitangan DTI dan enam orang orang ahli keluarga kakitangan.

Tegas beliau punca jangkitan adalah masih dalam siasatan dan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat satu kes baharu dilaporkan bagi kluster Telaga di Kedah, menjadikan jumlah kes positif untuk kluster berkenaan adalah sebanyak lapan kes setakat ini.

“Sehingga 12 tengahari ini seramai 2,743 orang telah disaring dalam kluster ini iaitu di Kedah sahaja 2,737 disaring dan lapan daripadanya positif Covid-19, 2,075 individu negatif manakala 654 individu masih menunggu keputusan,” ujar beliau.

Di Pulau Pinang kantanya, seramai enam individu disaring dan kesemuanya disahkan negatif Covid-19 manakala pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. – MalaysiaGazette