Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah melihat Tanjak yang dipamerkan pada Perasmian Program Tanjak Merdeka di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 4 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdulah mengakui timbalannya ada melakukan kesilapan ketika menjawab soalan di Dewan Negara mengenai pelajar, Veveonah Mosibin.

Beliau berkata, Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin telah segera mengaku kesilapannya dan memohon maaf khususnya kepada Veveonah.

Menurutnya, beliau juga telah membaca respon pelajar berkenaan selepas timbalannya membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Bagi saya itu adalah kesilapan dan beliau telah memohon maaf. Beliau (Zahidi) juga kata akan membetulkan jawapan sebab jawapan itu telah tercatat dalam hansard,” katanya ketika ditemui pemberita sempena pameran dan jualan tanjak di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai tindakan yang akan diambil oleh pihak kementerian terhadap Zahidi berhubung perkara itu bagi memuaskan hati semua pihak selepas ia tular di laman sosial.

Pada Isnin lalu Zahidi dilaporkan berkata, hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika videonya tular apabila terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang kemudian dirakam.

Bagaimanapun, Zahidi kemudiannya menerusi hantaran di Facebook memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya kini sedang menaik taraf migrasi bagi melengkapkan saling hubungan terhadap capaian menerusi Jendela Jalinan Digital ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Katanya, ia melibatkan migrasi dari 2G kepada 3G dan 3G kepada 4G serta fasa kedua kepada 5G.

“Jadi program capaian di kawasan luar bandar sedang kita tingkatkan dan kita mengambil kira masalah pandemik Covid-19 dan sebagainya,” kata beliau. – MalaysiaGazette