Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Ekoran kenyataan tidak tepat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengenai pelajar, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet, netizen mendesak agar beliau meletakkan jawatan.

Dakwa mereka, kenyataan tidak tepat itu nyata tidak menepati saranan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang mencanangkan konpep ‘tidak pasti jangan kongsi’ sebelum ini.

“Apa timbalan menteri komunikasi salah information. Buat malu nama je. Letak jawatan je la,” kata @Nazran_AL di Twitter.

Malah ada yang berkata, tindakan meletakan jawatan adalah satu langkah yang sesuai bagi menebus kekhilafan Zahidi itu.

“Satu cara je nak bersihkan nama zahidi tu. letak jawatan,” tegas @pittssuda.

“Sampai hati kamu! Zahidi Zainul Abidin perlu berundur!,” kata @zhafvlog di Twitter sambil menggunakan hastag #ZahidiLetakJawatan.

@LadyAmeera pula terkilan dengan sikap Zahidi yang secara terang-terangan memberikan maklumat yang salah.

Beliau berkata, Zahidi jelas tidak layak untuk memegang jawatan timbalan menteri.

“Senangnya kau minta maaf gitu ja lps bg irresponsible statement. Habis si veve tu kena bash seharian. Letak jawatan please zahidi. Ndak layak kau pegang jawatan,” katanya.

Semalam, Zahidi memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Zahidi dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini memohon maaf atas kesilapan itu dan akan membuat pembetulan pada sidang Dewan Negara pada Isnin.

“Saya mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Zahidi berkata hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudian menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan seperti dalam video itu.

Jun lalu, video Veveonah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian menjadi tular di media sosial. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haha…netizen semua ok lah tu menteri tu buat silap…sebab kerana silap dia tu ada menteri lain boleh buat janji politik nak buat rumah dan rumah sarang burung utk mangsa kesilapan tu…

Comments are closed.