SHAH ALAM – Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melihat kegagalan kerajaan Selangor menangani krisis bekalan air menyebabkan bebanan rakyat di negeri itu yang ketika ini berdepan dengan wabak Covid-19, semakin bertambah.
Anggota Exconya, Adi Farhan Isa berkata, dalam situasi rakyat terutama golongan berpendapatan rendah menderita berhadapan cabaran ekonomi hari ini, krisis air yang melanda untuk sekian kali menambahkan lagi derita mereka.
Jelasnya, kumpulan peniaga kecil dan penjaja terutama yang mengusahakan gerai atau kedai makan pastinya menghadapi masalah untuk menyediakan bahan jualan.
“Saya yakin sejak semalam ramai penjaja kecil tidak dapat berniaga kerana bekalan air terputus sehingga membantutkan kerja penyediaan makanan.
“Sudahlah golongan berpendapatan rendah ini sedang menghadapi kekangan kewangan sejak wabak Covid-19 melanda negara enam bulan lalu, kini baru saja mereka nak cari pendapatan, masalah air pula berlaku.
“Kegagalan kerajaan Selangor menangani isu air membuatkan rakyat terus menderita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas Adi Farhan yang juga Naib Ketua Armada Bahagian Sungai Buloh, apa pun alasan punca gangguan bekalan air diberikan kerajaan negeri, tidak boleh lagi diterima rakyat kerana bukan sekali dua krisis itu terjadi, malah sudah terlalu kerap.
Ujar beliau, punca sebenar krisis air di Selangor disebabkan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri, kelemahan pihak berkuasa tempatan dan syarikat pengurusan Air Selangor dalam menangani faktor lapuk isu berkenaan.
“Kalau sekali dua krisis air ini berlaku, mungkin kerajaan Selangor boleh menuding jari kepada pihak lain, tapi bila sudah acap kali sangat masalah air ini berlaku, maka puncanya adalah kegagalan pentadbiran kerajaan negeri serta pihak berkaitan.
“Rakyat Selangor sudah muak dengan pelbagai alasan diberikan dan Armada Bersatu mendesak penyelesaian secara total dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan isu bekalan air tidak terus berulang,” katanya.
Adi Farhan berkata, Armada Bersatu akan memantau rapi krisis air yang sedang melanda Selangor kini dan bersedia untuk mengambil tindakan seterusnya termasuk membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat jika terdapat unsur penyelewengan yang menyumbang kepada krisis air di Selangor. – MalaysiaGazette