Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 131 individu telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan, daripada jumlah itu, seramai 112 individu telah dikompaun manakala 17 individu pula direman dengan kesalahan ingkar arahan.

Dua lagi individu diikat jamin.

Kata beliau, antara yang paling banyak dikesan ialah gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan serta tidak memakai pelitup muka.

“Sebanyak 60,340 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

”Ia melibatkan 2,829 pasukan pematuhan dengan 12,628 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja, serta terminal pengangkutan darat, air dan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan dalam ‘Operasi Benteng’, pihak berkuasa berjaya melakukan 18 tangkapan yang melibatkan empat tekong dan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dalam operasi itu juga kita telah membuat rampasan melibatkan satu bot dan juga empat kenderaan darat. Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga telah dilaksanakan semalam,” ujarnya.

Bagi kuarantin wajib pula, kata Ismail Sabri, seramai 23,590 individu telah pulang ke tanah air menggunakan pintu masuk sempadan antarabangsa dan di tempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA).

“Seramai 9,162 sedang jalani kuarantin wajib manakala 66 telah di hantar ke hospital untuk rawatan sementara 14,362 individu pula telah discaj dan dibenar pulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast