Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta SUV jenis Volvo yang dipercayai memandu melawan arus dan melanggar sebuah kereta Perodua Myvi, dalam satu kejadian di Jalan Klang Lama ditahan polis, tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan, setelah hadir di Balai Polis Jalan Bandar.

“Sebelum itu, polis telah menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan yang tular di laman sosial dan telah menghubungi kedua-dua pemandu (Volvo dan Myvi) supaya tampil ke balai polis, untuk membuat laporan.

Artikel berkaitan: Polis kesan pemandu Volvo lawan arus langgar Myvi

“Kedua-dua individu berkenaan telah hadir di Balai Polis Jalan Bandar,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dilakukan ke atas pemandu Volvo berkenaan juga didapati postif dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan juga Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan salah guna dadah.

Jelasnya, permohonan perintah reman akan dilakukan esok bagi siasatan lanjut dan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya secepat mungkin.

Terdahulu, Zulkefly dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta SUV jenis Volvo yang dirakam melawan arus, sehingga melanggar Perodua Myvi berkenaan, petang kelmarin. – MalaysiaGazette