KUALA LUMPUR – Rasuah ekonomi dan politik mampu menggugat kestabilan kerajaan serta menjejaskan sistem demokrasi.
Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (Qiam), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, rasuah di kalangan kakitangan kerajaan, lebih lagi agensi penguatkuasa boleh menggugat keselamatan negara.
Kata beliau, isu kad pengenalan palsu, kebanjiran warga asing, pengedaran dadah, jenayah, perjudian, kongsi gelap, penerokaan haram dan apa saja yang melanggar undang-undang merupakan punca dari rasuah.
“Tidak boleh dinafikan peranaan sindiket haram yang sejak lama merasuah untuk terus cergas dengan kegiatan haram mereka demi mengaut keuntungan besar.
“Kata-kata retorik ketua-ketua Jabatan untuk menggempur, menghapuskan, mencari sampai ke lubang cacing sindiket ini sering kita dengar, tetapi seperti hangat-hangat tahi ayam umpama sekali bah, sekali pasir berubah.
“Rakyat tertanya, apa masalah sebenarnya penguatkuasaan undang-undang lemah. Apakah undang-undang tidak cukup kuat atau kekurangan keanggotaan?,” soal beliau menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Sirajuddin berkata, Qiam bersetuju dan menyokong jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa autonomi dan diperkasakan kemampuanya untuk membanteras rasuah habis-habisan dengan berani dan tidak memilih bulu.
Kerajaan tegasnya, mesti berani dan mempunyai “political will” untuk melaksanakannya.
Kata beliau, sejajar dengan itu, Qiam juga menggesa kerajaan mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara dan bersungguh-sungguh membanterasnya dengan rakyat pasti akan menyokong tindakan itu.
Menurutnya, bagi memastikan transformasi itu berkesan dan memberi impak besar, dua perkara mesti diberi penekanan.
“Pertama, tindakan ke atas “bapak jerung” haruslah dibuat dengan tegas. Jangan sesekali ada double standard. Jika perlu digari atau dipakaikan baju lokap, hendaklah dibuat sewajarnya.
“Kedua, tindakan tegas dan keras mestilah juga diambil ke atas pemberi rasuah. Merekalah yang menjadi punca rasuah. Jika tiada pemberi, masakan ada penerima?,” katanya.
Beliau berharap, perkara yang disuarakan itu dapat dilaksanakan segera kerana kedudukan rasuah di negara ini sudah berada pada tahap parah.
Jika dibiarkan, katanya, bukan sahaja ekonomi negara terjejas, malah keselamatan negara juga akan musnah. – MalaysiaGazette