Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap ketika hadir untuk merasmikan platform e-dagang 'shopMYairport' di Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2020.

SEPANG- Kementerian Pengangkutan telah melakukan kajian menyeluruh pada segenap sudut sebelum membuat pengumuman untuk melaksanakan projek Landasan Berkembar Lembah Kelang Fasa 2 (KVDT 2) secara tender terbuka.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila menamatkan kontraktor sebelum ini iaitu Dhaya Maju LTAT, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara tersebut telah diserahkan kepada penasihat undang-undang.

“Kementerian kami telah membuat kajian di segenap sudut. Saya serahkan kepada para penasihat perundangan,” jawabnya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media pelancaran platform e-dagang MAHB, shopMYaiports di sini hari ini.

Bulan lepas, Ka Siong mengumumkan tender untuk KVDT2 akan dibuka semula selepas kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan projek tersebut secara tender terbuka.

Katanya, siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu terlalu mahal walaupun terdapat pengurangan kos oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

Pada 1 September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Dhaya Maju LTAT, Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata, kerajaan tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak yang telah dianugerahkan kepada syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara DhayaMaju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tidak perlu tender semula KVDT2, Dhaya Maju LTAT komited untuk siapkan projek